Thursday, September 17, 2009

Lebaran Erra di utara, pantai timur




SETINGGI mana kedudukan dan sepopular manapun nama dijulang, berbahagi lokasi raya sudah menjadi adat mana-mana pasangan yang sudah berumah-tangga.
Pasangan popular, Erra Fazira dan suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin tidak terkecuali menghadapi situasi yang sama. Tiada pengecualian dan tiada bezanya dia dan Emran berbanding dengan mana-mana pasangan suami-isteri yang lain.
Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, Syawal kali ini, Erra harus berkompromi dengan diri sendiri, suami dan keluarga tersayang untuk merantau jauh ke Utara, kemudian menyusur pula ke Pantai Timur demi meraikan Aidilfitri di samping keluarga mentua.
"Mengikut perancangan asal memang begitu, tapi kami balik ke rumah nenek sebelah ibu Emran di Pulau Pinang sebelum raya. Itu kata putus daripada Emran sendiri, mungkin dia sudah dapat gambarkan bagaimana corak kembara raya kami nanti.
"Sehari dua di sana, kami pulang beraya pada hari raya pertama di rumah ibu dan nenek saya di Sungai Choh, Rawang. Hari raya kedua barulah kami akan pulang ke Terengganu untuk beraya dengan keluarga Emran sebelah bapanya pula," jelas Erra dengan nada ceria.
Teruja dengan pengalaman pertama yang tidak pernah dilalui, ke Pantai Timur khususnya, Erra tidak sabar-sabar melalui suasana sambutan lebaran di Pantai Timur yang selama ini hanya dibingkiskan teman-teman.
Tambahan pula kampung Emran dikatakan berdekatan dengan pantai, Pantai Air Tawar dan Pantai Bukit Kluang yang sememangnya terkenal sebagai tempat istirehat di kalangan penduduk setempat bahkan pelancong dari luar.
"Itulah sebenarnya hajat Emran, dia nak bawa Aleesya pijak pasir pantai buat pertama kali. Itu juga yang buat saya tak sabar. Bercuti dan kawasan pantai memang kegemaran saya. Sebab lepas balik beraya nanti, saya sibuk dengan album dan jadual penggambaran Mertua vs Menantu musim kedua," jelas Erra.

ERRA merasakan kehidupannya kini sudah lengkap dengan kehadiran suami dan seorang zuriat comel,Engku Aleesya.


Bercerita tentang istimewanya kembara rayanya tahun ini kata Erra, ia bukan hanya balik kampung untuk bertemu sanak-saudara Emran dalam suasana biasa, tetapi satu perkumpulan keluarga secara besar-besaran akan berlangsung. Majlis berkenaan akan diadakan di sebuah dewan yang telah ditempah khas.
"Tak dapat saya nak gambarkan bagaimana, kita tengoklah nanti," katanya bersulam tawa.
Jelas Erra juga, tahun ini dia akan menjamu selera dengan masakan dan juadah raya dari Utara dan Pantai Timur. Juadah dari Utara sudah biasa kerana tahun lepas Erra berkesempatan beraya di sana. Menjadi tanda tanya buat Erra, bagaimanakah suasana dan jenis juadah sajian raya di Besut, Terengganu nanti.
Apa yang pasti, kebahagiaan langit 1 Syawal 1430 Hijrah tambah ceria buat keluarga Erra dan Emran apabila si puteri sulung mereka, Engku Aleesya juga bakal mengenal Aidilfitri buat pertama kali dalam hidupnya.
Berbeza dengan tahun-tahun yang pernah dilewati, dari zaman remaja, anak dara, bersuami dan berumahtangga, persiapan dan nilai 1 Syawal tahun ini cukup mahal buat Erra.
Hidupnya lengkap dengan kehadiran Aleesya. Daripada seorang gadis lasak, popular, dikelilingi peminat, menjadi isteri dan menantu, lebaran tahun ini satu lagi fasa baru buat Erra kerana berpeluang menyambutnya dalam status seorang ibu.
Kata Erra, hanya wanita bergelar ibu sahaja yang memahami emosi dan perasaan seorang ibu. Menjadi ibu kepada Aleesya membuatkan hati wanita Erra benar-benar tersentuh.
Melihat anak semakin hari semakin mengenal dunia itu satu perkara yang tidak mampu diucapkan dengan kata-kata. Lebih membuatkan Erra bersyukur, kerana dia masih diberi peluang memberikan kasih dan mencium hangat telapak tangan wanita bernama Azizah Daik, ibunya sendiri.
"Sekarang saya baru faham kebahagiaan menjadi ibu sekali gus membuatkan nostalgia beraya bersama ibu suatu ketika dahulu sangat menyentuh perasaan saya. Ibu saya pula ibu tunggal. Keluarga kami bukan senang. Ibu kena bekerja keras untuk menyara nenek, adik-adiknya dan saya sendiri. Saya menjadi lebih kagum dengan ibu selepas saya sendiri menjadi ibu," luah Erra sedikit larut dalam emosi.
Tawa Aleesya segera mematikan lamunan Erra. Bercerita mengenai persiapan menyambut 1 Syawal, kegembiraan menyiapkan kelengkapan Aleesya pastinya mengatasi segala keterujaan untuk diri sendiri dan suami.
"Kalau dulu, kehendak diri diutamakan kini, kami berdua lebih teruja membuat persiapan untuk Aleesya.
"Banyak jugalah pakaian yang dibeli. Sebenarnya, sejak awal Ramadan lagi saya sudah tidak sabar-sabar untuk membeli-belah. Lagi pun seronok dan rasa tidak tertahan apabila melihat pakaian bayi perempuan yang sememangnya cantik belaka," cerita sambil mengira-ngira persalinan si comel yang sedang bersedia untuk digayakan.
Getusnya perlahan: "Dalam 10 pasang tapi tak semuanya dibeli sendiri. Ada yang dihadiahkan oleh ibu angkatnya dan teman-teman saya. Jangan tak tahu, Aleesya pun ada sepasang baju kurung."
Emran pula tidak cerewet soal baju raya. Memandangkan tahun ini banyak fotografi yang dijayakan, mana yang berkenaan di hati akan terus dibeli menjadi miliknya.



Berbanding Emran dan Aleesya, Erra ada cerita tersendiri mengenai baju raya. Ekoran kesibukan, Erra sebenarnya terlupa untuk membuat tempahan awal.
"Mulanya sedih tapi di saat-saat akhir, saya dihubungi Nurul Syukor (jurusolek artis popular dan teman baik Erra), katanya baju raya saya dah siap, empat pasang semuanya. Sebenarnya saya hantar kain untuk baju berkenaan dua tahun lepas, beberapa baju sudah siap tapi tahun lepas tak perlukan baju raya sebab tengah hamil, jadi tahun ini saya dapat durian runtuh. Dapatlah beraya dengan baju itu, cuma ketat sikit dan perlu diubahsuai," katanya tergelak kecil.
Biarpun menghadapi masalah untuk mengembalikan tubuhnya kepada bentuk asal, Erra berkata, dia tetap akan berusaha agar misinya berjaya.
"Selalu macam itulah, bila kita tak diet, badan jadi kurus tapi bila kita jaga makan, badan naik juga. Ini pula raya, tengoklah macam-mana nanti, saya masih ada empat kilogram yang perlu dibuang," katanya di hujung perbualan.
Menutup bingkisan raya daripadanya, primadona filem Melayu itu mengutuskan pesanan, ungkapnya: "Salam Aidilfitri buat semua, kemaafan dipinta andai selama ini ada yang terlanjur pekerti, terkhilaf kata."

0 comments :

Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly. Search and Compare Hotel Rates
Blog Widget by LinkWithin