Malaysia teliti cadangan Unesco senarai batik Indonesia warisan dunia: TPM
KUALA LUMPUR: Malaysia akan meneliti keputusan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) yang akan menyenaraikan batik Indonesia sebagai satu daripada warisan budaya dunia, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memastikan sama ada keputusan itu akan menyebabkan kemahiran dan tradisi batik di negara ini terjejas.
"Saya tidak dapat maklumat itu (keputusan Unesco), Malaysia pun ada batik juga. Kita akan teliti apa keputusan sebenar yang dibuat pihak berkenaan, sama ada ia perkara yang akan menyebabkan kita tidak boleh guna kemahiran dan tradisi yang sudah ada di negara dalam mengeluarkan hasil kraf kita sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan upacara menandatangani dua perjanjian iaitu usahasama antara UEM Land Holdings Berhad dan Malaysian Biotech Corporation Sdn Bhd serta Holista-Colltech dan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini.
Muhyiddin diminta mengulas mengenai keputusan Unesco pada 8 September lalu untuk menyenaraikan batik Indonesia sebagai satu daripada warisan budaya dunia.
Bagaimanapun, keputusan rasmi mengenainya hanya akan diumumkan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) antara 28 September dan 2 Oktober ini.
Sehubungan itu, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono telah mengisytiharkan pemakaian batik bagi rakyatnya pada 2 Oktober untuk menyambut kejayaan itu.
Muhyiddin berkata, bukan Malaysia sahaja yang mempunyai kemahiran menghasilkan batik tetapi negara lain seperti India dan Singapura turut mengeluarkan hasil produk batik sendiri.
"Saya kira bukan sahaja Malaysia dan Indonesia ada batik, India dan Singapura pun ada batik, cuma perkataan batik itu dan teknologi cara pembuatannya (berlainan). Saya akan periksa keputusan (Unesco)," katanya. - Bernama
0 comments :
Post a Comment