Semarak Ramadan Berita Harian dipuji
Oleh Hussain Said
KUALA PILAH: Masjid Kuala Jemapoh, Juas-seh, dekat sini, malam ini menjadi destinasi penutup Program Semarak Ramadan anjuran Berita Harian bagi menyemarakkan syiar Ramadan di lokasi terpilih seluruh negara.
Ternyata, program julung kali dianjurkan akhbar ini mendapat pujian dan sokongan, malah semua pihak, termasuk pembaca setia mahu program amal itu diteruskan setiap kali Ramadan.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek, memuji usaha Berita Harian menganjurkan program berkenaan kerana ia berkonsepkan amal.
“Langkah Berita Harian selaku jenama terkenal dalam industri surat khabar dengan disokong syarikat korporat lain menganjurkan program ini membuktikan mereka tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sosial.
“Selain mendekati pembaca setia dan masyarakat seluruh negara, usaha membantu anak yatim, orang miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) amat dialu-alukan dan disanjung tinggi, terutama pada bulan yang mulia ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis berbuka puasa, menerima tajaan dan menyampaikan sumbangan kepada 20 fakir miskin serta 10 pelajar cemerlang sempena program itu di Masjid Kuala Jemapoh.
Hadir sama, Ketua Pengarang Berita BHSB, Ahmad Zaini Kamaruzzaman, dan Ketua Cawangan Wilayah Selatan Bank Islam, Faisal Ja'afar.
Sebelum itu, Hasan yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian Kuala Pilah dengan diiringi Ahmad Zaini menyerahkan pek sumbangan merangkumi akhbar Berita Harian, apron sumbangan Petronas Gas dan cenderahati Ratu kepada peniaga di Bazar Ramadan Juasseh.
Juasseh menjadi destinasi kesembilan, iaitu lokasi penutup program itu yang turut mendapat kerjasama dan sumbangan Bank Islam, Adabi, Bernas, Yusuf Taiyoob Sdn Bhd serta Petronas Gas.
0 comments :
Post a Comment