12 Jun - Bajet 2010 Fokus Kukuh Ekonomi: PM
PUTRAJAYA: Bajet 2010 akan memberi penekanan terhadap langkah merangsang pertumbuhan ekonomi berasaskan sektor perkhidmatan ke arah mengubah Malaysia daripada negara berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi. |
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata teras bajet itu adalah untuk akan memastikan negara keluar daripada krisis ekonomi dengan tumpuan kepada usaha mencari sumber pertumbuhan baru, selain merancakkan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI).
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi menambah sumber pendapatan negara daripada pelaburan luar, semua dasar kerajaan berhubungnya akan dipastikan sentiasa konsisten dan tidak diubah sewenang-wenangnya bagi meningkatkan keyakinan pelabur asing.
"Ini bagi mendapatkan keyakinan pelabur dan menarik kemasukan FDI yang kini semakin sengit berikutan kemelesetan ekonomi global.
"FDI di seluruh dunia dijangka berkurangan 50 hingga 60 peratus tahun ini dan kita perlu merebut habuan yang semakin kecil ini," katanya pada majlis Konsultasi Bajet 2010 di Kementerian Kewangan di sini, semalam.
Majlis itu bertujuan mendapatkan input pelbagai pihak, termasuk wakil sektor ekonomi dan perindustrian bagi merangka Bajet 2010 yang dijangka dibentangkan 23 Oktober ini.
Najib berkata, kerajaan juga akan mencari jalan untuk menjadikan sektor pelancongan kesihatan sebagai sumber pendapatan penting negara pada masa depan.
"Dasar baru akan diperkenalkan untuk meningkatkan sektor pelancongan kesihatan bagi menarik orang luar mendapatkan rawatan di sini menerusi kemudahan kesihatan bertaraf dunia yang kita sediakan," katanya.
Selain itu, beliau memberi jaminan kerajaan tetap meneruskan pembangunan koridor ekonomi, terutama di Wilayah Iskandar Malaysia yang menawarkan potensi besar dalam menarik pelaburan luar.
Malah, katanya, Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew menyatakan republik itu berminat untuk melabur di wilayah berkenaan sekiranya Malaysia mempunyai dasar pelaburan yang konsisten.
Berhubung langkah liberalisasi sektor ekonomi, Perdana Menteri berkata, satu pengumuman penting berhubungnya akan dibuat ketika persidangan Invest Malaysia 2009, akhir bulan ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Najib berkata, dalam mewujudkan satu masyarakat yang adil dan jujur, penekanan akan diberi terhadap langkah menangani keperluan setiap masyarakat, termasuk dalam soal bantuan kepada Bumiputera.
"Kita mahu menjadikan mereka lebih berdaya tahan dan kompetitif," katanya.
Sumber: Berita Harian
0 comments :
Post a Comment