Warga Dungun cipta rekod baru masak bubur lambuk
RICKY Yap (kanan) menyerahkan sijil Malaysia Book of Records kepada Baharuddin Abd. Ghani (dua dari kanan) selepas 2,000 warga Dungun memasak 270 periuk bubur lambuk di Padang Merdeka, Dungun, semalam.
Program anjuran Jabatan Perpaduan Negeri dan Integrasi Nasional Daerah dan 76 Kelab Rukun Tetangga (KRT) di Dungun itu juga berjaya mencipta rekod baru memasak bubur lambuk terbanyak dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Sijil pengiktirafan tersebut disampaikan oleh pegawai penyelidikan MBOR, Ricky Yap kepada Pegawai Perpaduan Negeri dan Integrasi Nasional Daerah, Baharuddin Abd. Ghani.
Baharudin berkata, program tersebut bertujuan merapatkan hubungan antara penduduk di kawasan Rukun Tetangga.
''Kami memilih untuk memasak bubur lambuk kerana ia merupakan satu masakan tradisional istimewa penduduk di sini. Keistimewaan bubur lambuk Terengganu terletak pada bahan utamanya iaitu budu dan pucuk paku.
''Selepas kesemua Pengerusi KRT di daerah ini bersetuju melakukannya, kami juga mengambil keputusan untuk memecahkan rekod memasak bubur lambuk MBOR," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata, mereka mula menyediakan bahan-bahan utama termasuk beras, ikan dan budu semalam.
Katanya, kos memasak bubur lambuk berkenaan disumbang daripada tabung KRT masing-masing iaitu sebanyak RM300 setiap kelab.
''Kami mula memasak bubur lambuk pada pukul 7.30 pagi dan sebahagian daripada peserta telah siap memasak kira-kira pukul 11 pagi," ujarnya.
Ricky berkata, para peserta berjaya mencipta rekod baru selepas memecahkan rekod yang dipegang oleh Majlis Pelancongan Negeri Sembilan pada 2007 iaitu sebanyak 200 periuk.
''Walaupun gagal mencapai sasaran sebanyak 300 periuk, mereka tetap dianggap mencipta rekod baru selepas alasan diberikan memenuhi syarat yang ditetapkan," katanya.
0 comments :
Post a Comment