92 dapat status warganegara
Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my
HISHAMMUDDIN bersama dua Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop (kanan) dan Jelaing Mersat, bergambar bersama penerima surat kelulusan Penganugerahan taraf warganegara Malaysia sempena menyambut Hari Perayaan Malaysia di Jabatan Pendaftaran Malaysia, semalam. |
Pemohon ucap terima kasih
PUTRAJAYA: Sambutan Hari Malaysia semalam memberi erti besar kepada 92 pemohon status kewarganegaraan Malaysia, apabila menerima surat kelulusan permohonan mereka daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Penantian mereka, ada yang sehingga 30 tahun untuk menjadi warga negara Malaysia dijawab semalam dalam satu majlis khas yang diadakan di Ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini.
Safniwati Birin, 47, yang berasal dari Minang di Padang, Indonesia berkata, beliau memohon menjadi warga negara ini sejak 20 tahun lalu.
"Saya datang ke Malaysia pada 1978 mengikut datuk dan berkahwin dengan lelaki tempatan pada 1987 dan mula memohon kerakyatan dua tahun kemudian ketika memegang taraf penduduk tetap (PR)," katanya yang mempunyai tiga anak.
Hishammuddin turut menyampaikan surat ucapan tahniah kepada warga negara baru itu pada majlis Ucapan Tahniah dan Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia yang pertama kali diadakan membabitkan menteri.
Beliau juga mendengar bacaan ikrar taat setia kepada Malaysia daripada warga negara baru pelbagai kaum itu.
Zulkifli Haron, 47, berasal dari Aceh berkata, beliau memohon kewarganegaraan Malaysia 10 tahun lalu.
"Saya menerima status penduduk tetap pada 1986 dan berkahwin pada 1994 dengan Salmah Abdul Rashid, 39," katanya yang tinggal di Sungai Buloh dan bekerja sendiri.
Beliau berterima kasih dengan penganugerahan itu bercadang untuk membesarkan perniagaannya termasuk berhasrat memohon skim pinjaman peniaga kecil daripada kerajaan.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, penerima kewarganegaraan semalam adalah sebahagian daripada 16,812 permohonan status itu sehingga Januari lalu yang mana sekitar 60 hingga 70 peratus daripadanya sudah diproses.
0 comments :
Post a Comment