Sultan Pahang batal jamuan raya
KUALA LUMPUR: Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah membatalkan rumah terbuka Aidilfitr sebagai langkah pencegahan penularan wabak H1N1.
Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang yang menempah makanan untuk hidangan tetamu mengedarkan juadah berkenaan kepada rumah anak yatim bagi mengelak pembaziran kerana bayaran sudah dilakukan.
Tengku Abdullah berkata, pembatalan rumah terbuka di kediamannya di Istana Abdulaziz di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, pertama kali dilakukan dan mengakui Aidilfitri tidak lengkap tanpa kehadiran rakyat.
Bagaimanapun, baginda berkata, keputusan itu diambil demi kebaikan semua untuk mengekang H1N1.
Baginda menasihatkan orang ramai yang merancang mengadakan majlis rumah terbuka mengambil tindakan sama.
"Memang terasa lain kerana menyambut Aidilfitri tanpa rumah terbuka seperti yang lazim dilakukan setiap tahun, tetapi saya terpaksa kerana bimbang tetamu mungkin dijangkiti wabak H1N1," katanya ketika dihubungi, semalam.
Tengku Mahkota berkata, pengalaman berdepan H1N1 apabila isteri baginda, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar dan lima anakanda diserang H1N1 bulan lalu.
"Saya tidak mahu orang lain melalui pengalaman sama yang sangat memeritkan apabila ahli keluarga terpaksa dirawat dan diasingkan dalam wad tanpa kehadiran pelawat," katanya.
0 comments :
Post a Comment