Pelaburan pasukan F1 sendiri 100 kali lebih baik: Dr Mahathir
PUTRAJAYA: Nilai faedah iklan yang akan diraih daripada pasukan Formula Satu (F1) negara adalah 100 kali lebih banyak daripada kos pelaburan bagi pasukan itu, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, pelaburan dalam pasukan F1 negara bukan satu pembaziran kerana kebaikan daripada segi pelancongan dan kemajuan teknologi adalah lebih banyak.
"Malah, semasa negara mengalami kemelesetan ekonomi dan pertumbuhan negatif, terdapat industri yang terus berkembang seperti pelancongan.
"Kami berpandangan F1 adalah wadah penting untuk mempromosikan Malaysia kepada dunia," katanya dalam temu bual dengan Bernama.
Beliau berkata, Malaysia perlu membayar AS$1 juta untuk iklan hanya selama tiga minit di Jepun.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan pasukan F1 1Malaysia akan menyertai perlumbaan F1 mulai tahun depan.
Najib berkata, projek itu adalah inisiatif kerajaan dan sektor swasta dengan pelaburan kerajaan adalah melalui pengeluar kereta nasional, Proton.
Dianggarkan sekurang-kurangnya RM1 bilion setahun diperlukan untuk membiayai pasukan F1.
"Melalui perlumbaan F1, Malaysia akan dipertontonkan kepada dunia selama beberapa jam. Kita tidak perlu bayar satu sen pun. Jika kita kira iklan di Jepun sahaja, ia mungkin menelan sehingga AS$100 juta atau AS$200 juta.
"Jadi bayangkan...lebih 300 stesen televisyen yang menyiarkan perlumbaan F1. Orang akan lebih tahu mengenai Malaysia jika kita mempunyai pasukan F1 kita sendiri," kata Dr Mahathir.
Beliau berkata, melabur dalam pasukan F1 bukan sekadar mengenai perlumbaan permotoran sahaja kerana teknologi yang dibangunkan bagi enjin untuk kereta lumba juga boleh diaplikasikan untuk industri automotif negara.
Najib telah menyatakan yang kereta pasukan F1 1Malaysia akan direka dan dihasilkan oleh warga Malaysia di Malaysia.
Tun Dr Mahathir berkata, memiliki satu pasukan F1 sendiri juga akan menggalakkan negara melahirkan pemandunya sendiri untuk mengambil bahagian dalam perlumbaan bertaraf dunia.
Malaysia terbabit dalam Formula One sejak 1999 menerusi litar Sepang yang telah disenaraikan dalam kalendar perlumbaan sejak itu.
Petronas, syarikat gergasi minyak dan gas negara, telah menceburi arena itu melalui penajaannya bagi pasukan BMW Sauber sejak empat tahun lalu.
Dr Mahathir yang juga penasihat Petronas, berkata adalah lebih murah bagi Malaysia untuk membentuk pasukannya sendiri daripada mengambil alih pasukan Sauber selepas BMW menarik diri daripada menaja pasukan itu.
"Jika kita (Malaysia) boleh melabur berbilion ringgit bagi koridor-koridor yang kita tidak dapat lihat, kenapa kita tidak boleh melabur bagi pasukan F1 kita sendiri?" katanya.
Pasukan F1 negara akan mempunyai krew teknikal dan pit Malaysia berjumlah kira-kira 200 orang.
Enam pemandu tempatan dan antarabangsa telah disenarai pendek untuk penilaian dan pasukan itu akan mengumumkan dua pemandunya menjelang akhir bulan depan. - Bernama
0 comments :
Post a Comment