Sabah sambut baik Hari Malaysia
KOTA KINABALU 19 Okt. - Para pemimpin Sabah terharu dan menyambut baik keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan 16 September sebagai Hari Malaysia dan cuti umum seluruh negara mulai tahun depan.
Bagi mereka, tarikh itu amat penting kerana Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan serta bergabung dengan Tanah Melayu dan Singapura untuk membentuk negara Malaysia.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, 16 September adalah hari bersejarah bagi rakyat Sabah kerana pelbagai etnik bersatu untuk mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia.
"Ini merupakan satu pengiktirafan yang tinggi oleh Perdana Menteri terhadap tarikh ini.
"Pengiktirafan ini mempunyai makna yang amat signifikan bagi menggambarkan gagasan 1Malaysia yang telah lama dihayati rakyat Sabah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, keputusan itu akan mencetus semangat dan iltizam rakyat Sabah untuk mengukuh perpaduan sedia ada sekali gus menjadi pemangkin kemajuan negeri.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Joseph Pairin Kitingan yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, pengumuman itu adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan.
"Ia telah menyelesaikan satu perkara yang amat penting dalam konteks negara yang berusaha mewujudkan patriotisme, semangat dan rasa sayang terhadap Malaysia," ujarnya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata, keputusan itu tidak akan mencetuskan pertikaian politik kerana semua pihak akan bersetuju dengannya.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili pula berkata, langkah itu mempunyai makna yang tersendiri kerana diumumkan oleh Najib.
"Dulu ayahandanya yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein datang ke Sabah sebagai wakil Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan mengisytiharkan 16 September sebagai cuti umum di Sabah.
"Kini Najib mengulanginya dengan membuat pengisytiharan yang sama tetapi untuk seluruh negara," katanya.
Kata Timbalan Presiden PBS itu, rakyat Sabah dan Sarawak amat menghargai apa yang dilakukan kerana mengambil kira perasaan dan harapan supaya tarikh itu diisytihar sebagai cuti umum.
Bekas Ketua Menteri, Datuk Yong Teck Lee yang juga Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) berkata, sepatutnya keputusan itu sudah lama dibuat oleh pemimpin terdahulu.
Teck Lee berkata, sejarah 16 September sebagai hari kemerdekaan Sabah dan Sarawak serta hari penubuhan Malaysia perlu dimasukkan dalam buku teks sekolah dan penerbitan kerajaan.
0 comments :
Post a Comment