SPRM, Interpol kerjasama cegah rasuah
PUTRAJAYA 19 Okt. - Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) melangkah setapak lagi bagi menjadi pusat kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan program pencegahan rasuah di rantau ini apabila memeterai kerjasama dengan Interpol.
MACA yang merupakan agensi di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah badan pertama di dunia mengadakan kerjasama dengan Interpol.
Kerjasama itu menumpukan kepada pembangunan latihan bertaraf antarabangsa dan amalan terkini untuk mencegah rasuah termasuk yang merentasi sempadan negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani MACA dan Interpol hari ini menyaksikan satu lagi fasa kerjasama rapat antara kedua-dua badan itu.
''Objektif SPRM adalah untuk memastikan kerjasama dapat diperkuatkan selain memperkukuhkan modul latihan serta peningkatan pembinaan kapasiti.
''Kerjasama ini bagi membolehkan satu bentuk penyelidikan dan latihan yang moden serta terkini dapat dijalankan oleh SPRM dan Interpol,'' katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis memeterai MoU itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Suruhanjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan; Pengarah Pembangunan dan Latihan Polis Interpol, Dale Sheehan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed.
Interpol merupakan pertubuhan polis terbesar dunia yang dianggotai oleh 188 buah negara.
Ia ditubuhkan pada 1923 dan mempunyai pengalaman luas dalam operasi kerjasama polis merentasi sempadan bagi membanteras jenayah.
Sementara itu, Ahmad Said berkata, penubuhan MACA bukan sahaja mencerminkan kesungguhan kerajaan membanteras rasuah malah diharap menjadi pusat latihan penguat kuasa pencegahan rasuah yang berwibawa.
''Untuk itu, MACA perlu sentiasa menjalinkan perkongsian bestari yang berkesan dengan agensi-agensi pencegahan rasuah dan lain-lain organisasi tempatan serta antarabangsa,'' katanya.
Dalam hal ini, kata beliau, kerjasama dengan Interpol dapat mewujudkan saluran komunikasi yang formal membabitkan kedua-dua pihak bagi memudahkan pertukaran idea dan maklumat yang selamat dan cepat.
Katanya, sejak ditubuhkan tahun lalu, MACA telah menganjurkan 192 kursus termasuk 16 kursus antarabangsa membabitkan 5,636 orang peserta tempatan dan luar negara.
''SPRM juga berharap akan lebih banyak institusi latihan dari dalam dan luar negara bersedia bekerjasama dengan MACA bagi membangunkan modul latihan.
''Ia bukan sahaja mengenai program pencegahan rasuah malah tentang akauntabiliti, integriti dan urus tadbir yang baik,'' katanya.
Dalam pada itu, Sheehan berkata, amalan terbaik dan pembinaan kapasiti yang diwujudkan oleh SPRM dapat dikongsi oleh negara-negara anggota Interpol.
0 comments :
Post a Comment