SPRM siasat dakwaan syarikat biaya 'hadiah' kereta mewah
PUTRAJAYA 19 Okt. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dakwaan satu artikel yang menyebut sebuah syarikat membiayai 'hadiah' berupa sebuah kereta mewah daripada seorang menteri kepada isterinya.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, siasatan itu dilakukan setelah pihaknya menerima satu laporan daripada pihak polis merujuk kepada dakwaan berkenaan.
''Polis telah merujuk laporan tersebut kepada kita (SPRM) dan kita akan membuat siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya.
''Bagaimanapun saya tidak mahu mendedahkan maklumat lanjut mengenainya kerana tidak mahu mengganggu siasatan yang sedang dijalankan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Sekretariat Am Interpol di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Abu Kassim mengulas laporan akhbar hari ini mengenai laporan polis yang dibuat oleh dua ahli Parlimen yang meminta pihak berkuasa menyiasat satu artikel yang mendakwa sebuah syarikat membiayai 'hadiah' berupa sebuah kereta mewah seorang menteri kepada isterinya.
Semalam, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo-Burne membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.
Laporan tersebut dibuat berdasarkan sebuah artikel yang disiarkan dalam sebuah laman web pada 14 Oktober lalu menyebut menteri berkenaan membeli sebuah kereta Toyota Alphard berharga hampir RM600,000 kepada isterinya sebagai hadiah hari jadi pada Januari lalu.
Artikel itu menggambarkan pembelian kereta mewah itu dibiayai oleh sebuah syarikat yang selalu memenangi senarai tender kementerian tersebut dan didakwa membayar wang pendahuluan kereta itu.
0 comments :
Post a Comment