Kisah seorang bapa dan anak gadisnya
PAPADOM
*** Tiga Bintang
|
|
KITA mengenal papadom sebagai keropok yang dihidangkan bersama dengan nasi kandar. Memang dalam filem ini papadom adalah keropok yang dihidangkan bersama nasi kandar, tetapi filem ini bukanlah filem tentang makan atau tentang nasi kandar. Tetapi papadom dan nasi kandar menjadi penghubung kepada sikap seorang bapa yang perlu memikul tanggungjawab mengurus dan menjaga anak gadis remajanya.
Papadom membawa isu menarik antara dilema seorang bapa yang cuba memahami dunia seorang gadis remaja. Saadom (Afdlin Shauki) adalah seorang bapa kepada seorang gadis remaja Miasara (Liyana Jasmay) yang bijak dan mempunyai keyakinan diri. Saadom sebenarnya mahu menebus kesalahan masa lalunya disebabkan pernah meminggirkan tanggungjawabnya sebagai seorang suami kerana sibuk menguruskan restorannya.
Selepas kematian isterinya Munirah (Noorkhiriah), Saadom berjanji akan melaksanakan tugasnya sebagai bapa yang bertanggungjawab terhadap anak perempuannya. Bukan sekadar menjadi bapa, Saadom sebenarnya turut mengambil alih tugas seorang ibu kepada anak gadisnya itu.
Pada peringkat awal Saadom berjaya melakukan tugasnya kerana Miasara masih kecil dan dunianya hanyalah rumah dan sekolah. Bagaimanapun sikap Saadom menjadi keterlaluandan over protective kepada anak gadisnya itu sehingga dia sanggup meninggalkan restorannya, ikut berpindah ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang dan sentiasa mengintip setiap gerak geri Miasara hanya untuk memastikan keselamatan anaknya.
Dia sebenarnya tidak mahu kehilangan kali kedua. Tetapi, tindakan Saadom itu menyebabkan timbulnya pertentangan fahaman antara Saadom dan anaknya Miasara. Sedikit demi sedikit Saadom kehilangan rasional dan ketakutan yang amat sangat akan keselamatan anak gadisnya, walaupun sebenarnya apa yang dilalui oleh Miasara hanyalah sebahagian dari dunia remaja mengenal erti hidup. Keadaan ini juga menyebabkan Saadom terpaksa memilih antara restorannya atau anak gadisnya. Akhirnya dia memilih menguruskan anak gadisnya.
Saadom adalah watak yang menarik. Dia adalah seorang bapa yang merasakan dia tahu apa yang dimahukan oleh seorang gadis remaja, tetapi tindakannya sekadar menunjukkan dia semakin tidak memahami dunia remaja. Saadom walaupun berjaya sebagai peniaga tetapi kekesalan akibat kecuaiannya dahulu menyebabkan dia hilang keyakinan dan sentiasa merasa bimbang. Sebab itulah dia sentiasa mempunyai halusinasi kemunculan isterinya yang sentiasa menyuarakan kebimbangan tentang keselamatan anak gadisnya dan cara untuk menangani sebarang masalah.
Sebenarnya bayangan isterinya merupakan suara hati Saadom sendiri.
Papadom adalah sebuah drama keluarga yang menarik. Seperti mana lazimnya sebuah genre melodrama seperti ini tumpuannya adalah mengangkat dunia wanita. Hal ini sebenarnya menyerlah dalam Papadom. Walaupun Saadom seorang bapa yang cuba menguruskan kehidupan anak gadisnya, tetapi dia kesukaran peranan yang dimainkan oleh seorang bapa dalam menjaga anak berjaya diatasi apabila Saadom mengambil alih tugas seorang ibu seperti memasak dan menyediakan keperluan anak perempuannya.
Pada peringkat awal, Saadom sebenarnya berjaya menjalankan tugas sebagai seorang "ibu" dalam menguruskan kehidupan seorang anak. Tetapi perubahan berlaku apabila Miasara memasuki universiti dan Saadom kembali dalam peranan seorang bapa yang cuba menguruskan kehidupan anak gadis.
Saadom mula risau tentang perjalanan hidup anak gadisnya, dengan siapa dia berkawan, apa yang dilakukannya dan masih mahu memastikan segala urusan kehidupan seorang gadis. Sekali lagi Saadom sebenarnya gagal dengan peranan sebagai seorang bapa, dia menjadi over protective dan gagal memahami kehidupan seorang gadis. Miasara akhirnya memberontak. Pemberontakan memperlihatkan jurang pemahaman antara seorang bapa dan seorang anak gadis akibat perbezaan perspektif tentang kehidupan dari dua generasi.
Afdlin sebagai bapa memperlihatkan lakonan yang sederhana, tetapi Liyana Jasmay sebagai anak gadis memperlihatkan mutu lakonan yang semakin menyerlah. Walau bagaimanapun Scha Al-Yahya sebagai Sasha seorang senior di kolej yang mencemburui pelajar barunya, Miasara memperlihatkan lakonan yang bukan sahaja berkesan tetapi setiap kali dia muncul, dia berjaya menghidupkan adegannya untuk menjadikan adegan yang cukup menarik. Begitu juga Harun Salim Bachik sebagai Shukor, ketua tukang kebun yang sedikit paranoid memperlihatkan aksi yang cukup melucukan tanpa perlu gerak komik yang keterlaluan.
Papadom menerima lima anugerah di Festival Filem Malaysia 2009. sebagai Filem Terbaik selain turut memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Cerita Terbaik dan Skor Muzik Terbaik.
Papadom mengangkat isu kekeluargaan dengan pendekatan melodrama yang bersahaja dan komedinya tidak keterlaluan. Suatu hal yang menarik, Afdlin membuka dan menutup ceritanya dengan persembahan boria, sebuah seni tradisi Pulau Pinang.
Papadom seakan cerita dalam persembahan Boria yang berisi elemen kekeluargaan dan permasalahan dalam kehidupan masyarakat dan tugas Boria memberikan nasihat sambil berhibur.
0 comments :
Post a Comment