Tuesday, October 20, 2009

Kahwin bukan sebab Syed-Sharifah

"Bagi saya, dia cukup sempurna, seorang yang matang, bijak dan mempunyai perancangan masa hadapan yang jelas" – SHARIFAH SOFIA



SELEPAS lebih dua tahun menganyam cinta akhirnya hubungan antara pelakon jelita Sharifah Sofia Syed Hussein dan lelaki pilihannya yang juga seorang ahli perniagaan Syed Ismail Syed Al-Ali bertitik noktah sebagai pasangan suami isteri yang sah di Masjid Wilayah, Jalan Duta, Ahad lalu.
Meskipun Sofia mempunyai perangai yang 'gila-gila' namun air mata wanitanya sempat menitis saat bapanya Syed Hussein Syed Alhadad melepaskan segala tanggungjawabnya kepada Ismail.
Kata Sofia, sejak awal pagi sehingga masuk ke dewan pernikahan kira-kira pukul 12 tengah hari perasaan girang menyelubungi dirinya tanpa sedikitpun cemas atau gugup sama seperti Syed Ismail.



Bagaimanapun perasaan itu sedikit berubah apabila Sofia diumumkan sah menjadi isteri kepada Syed Ismail, lelaki yang dicintainya.
"Tiba-tiba pula rasa sebak. Sebelum itu okey sahaja. Tetapi perasaan saya sebenarnya bercampur-campur sedih, gembira, teruja, semua ada.
"Alhamdulillah, majlis pernikahan berjalan seperti mana yang saya idamkan. Ringkas, formal dan pantas," ujar anak ketiga daripada empat adik-beradik ini lagi.

PASANGAN pengantin diapit oleh keluarga Sofia termasuk ibu Sofia (empat dari kanan), Maureen Hussein dan bapanya (enam dari kanan), Syed Hussein.


Menyentuh tentang lelaki pilihannya, Sofia menjelaskan Syed Ismail tidak seperti lelaki yang lain dan dia sungguh istimewa di hati Sofia.
"Dia lain daripada lelaki yang pernah saya kenal, malah dia suka buat saya ketawa. Saya rasa tenang dan senang bersamanya
"Bagi saya, dia cukup sempurna, seorang yang matang, bijak dan mempunyai perancangan masa hadapan yang jelas," ujar pelakon filem Pisau Cukur ini lagi.

SAAT penuh debaran buat Syed Ismail sebelum bapa mertuanya, Syed Hussein menyerahkan tanggungjawab menjaga Sofia sebagai seorang isteri.


Walaupun suaminya mempunyai pangkal nama Syed yang berketurunan Melayu, Arab, Jordan manakala Sofia pula mempunyai darah campuran Scotland, Arab dan Melayu serta menggunakan panggkal nama Sharifah, itu bukan penyebab utama perkahwinan mereka.
"Saya tidak memilih untuk mendapatkan suami sama keturunan, sudah kebetulan dan ia satu bonus. Keluarga saya juga tidak meletakkan sebarang syarat dalam memilih menantu, mereka berfikiran terbuka.
"Asalkan lelaki itu boleh menjaga dan mendidik saya dengan baik itu sudah memadai buat ibu bapa saya. Apa yang penting kami saling mencintai," luahnya sambil meleretkan senyuman kepada Ismail.

CEK hantaran bernilai RM20,000 buat Sofia dan cincin perkahwinan untuk Syed Ismail.


Boleh berlakon tapi ada syarat!
Pasti ramai yang tertanya-tanya adakah pelakon putih gebu ini akan meneruskan kerjayanya sebagai pelakon atau pun menumpukan sepenuh perhatian pada keluarga?

BEG tangan dan dompet Coach.


Jika ditanya pada Sofia pastilah dia mengatakan akan terus berlakon kerana dunia lakonan sudah sebati dalam dirinya.
Tetapi bagaimana pula reaksi Ismail yang melamar Sofia pada bulan Mac lalu mengenai kerjaya isteri itu memandangkan dia juga pernah dihimpit kontroversi kerana populariti Sofia?

SET mutiara terdiri daripada rantai, loket dan subang.


Jelas Syed Ismail, dia membenarkan isterinya itu terus berlakon tetapi masih ada syarat yang harus dipatuhi Sofia untuk terus bergelar seorang pelakon.
"Saya tidak kisah dia nak berlakon tetapi apabila dia sudah menjadi isteri saya, dia harus meminta kebenaran setiap kali menerima tawaran lakonan," ujar Syed Ismail serius.



Sofia yang setia di sebelah Syed Ismail pula tersenyum mengiyakan apa yang dikatakan suaminya itu. Bagi Sofia erti pernikahan buatnya adalah penyatuan dua insan tanpa sebarang batasan.
"Apabila sudah menjadi suami isteri tanggungjawab saya lebih berat dan kami boleh lakukan semua perkara bersama tanpa sebarang batasan dan sekatan daripada orang lain.
"Kami juga akan saling menyokong dalam meneruskan kehidupan sebagai suami isteri," terang Sofia yang anggun dalam busana serba putih rekaan pereka fesyen, Amir Luqman.
Menyentuh tentang perancangan keluarga, kedua-dua mereka menyerahkan sepenuhnya kepada takdir, andai kata dikurniakan anak buat masa yang terdekat mereka tidak akan menolak.
"Kami akan berpindah ke Shah Alam selepas ini dan tentang bilangan anak itu saya tidak kisah semuanya rezeki daripada Allah. Kalau cepat alhamdulillah," tutur Syed Ismail yang merupakan anak tunggal.
Tambah Syed Ismail, dia merancang untuk membawa isterinya berbulan madu di Kepulauan Maldives dan Colorado, Amerika Syarikat pada Februari tahun hadapan.
Pada majlis yang sama, Sofia turut menerima wang hantaran sebanyak RM20,000 daripada Ismail selain tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.
Selepas majlis akad nikah berlangsung, pasangan itu akan mengadakan resepsi perkahwinan secara tertutup pada Jumaat depan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

0 comments :

Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly. Search and Compare Hotel Rates
Blog Widget by LinkWithin