Virus Nur Kasih landa Kota Singa
Oleh Zaidi Mohamad
BEGITU tekun Remy, Tiz dan Fiz menandatangani autograf buat kenangan peminat. |
MALAM Jumaat pasti ramai yang akan meluangkan masa untuk terpaku depan TV3 menonton drama Nur Kasih. Formula yang digarap pengarah Kabir Bhatia menerusi drama yang disiarkan jam 9 malam itu ternyata berjaya menambat minat penonton pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia.
Dijangka berakhir pada penghujung November depan, drama yang menampilkan pelakon kegilaan ramai Remy Ishak, Tiz Zaqyah, Fizz Fairuz dan Ummi Nazeera ini sudah mula membuatkan penontonnya tertunggu-tunggu apa yang bakal terjadi pada episod mendatang.
Nampaknya bukan saja di Malaysia, rupa-rupanya virus Nur Kasih sudah menular di Kota Singa apatah lagi drama terbabit turut disiarkan serentak di saluran Sensasi di sana. Untungnya penonton saluran itu dapat menonton satu episod lebih awal daripada Malaysia.
Dalam sebuah majlis yang dianjurkan saluran Sensasi dengan sebuah syarikat telekomunikasi, StarHub di Singapura baru-baru ini, Remy Ishak, Fizz dan Tiz berkesempatan merasai keterujaan dan gambaran bagaimana Nur Kasih turut memberi impak kepada penggemar drama itu di sana sebagaimana ia dirasai di negara kita.
Bayangkan dengan hanya mempertaruhkan tiga pelakon ini, penganjur hingga tak menang tangan mengawal peminat yang bertali arus datang mahu bertemu secara dekat dengan pelakon kesayangan mereka. Remy yang sudi berkongsi cerita sendiri tidak menyangka drama ini memberi terjemahan berbeza buat pacuan kerjayanya.
ANTARA peminat Nur Kasih. |
"Kami ke sana sejak 10 hingga 11 Oktober lalu. Pada hari pertama saja sejurus sampai ke Singapura, kami bertiga terus bergegas menghadiri acara yang diaturkan. Biarpun penat kerana sehari sebelum ke sana, saya masih terikat dengan penggambaran, saya akui seronok menyertai acara ini.
"Selain diadakan sesi menonton episod terbaru drama Nur Kasih bersama 50 orang pemenang di panggung wayang yang terletak di pusat beli belah Vivo City, kami turut meluangkan masa untuk bertemu peminat dalam sesi menandatangani autograf untuk 50 peminat bertuah. Bagaimanapun disebabkan keadaan yang tidak terkawal sesi ini hanya dapat dibuat dalam tempoh yang singkat," katanya yang sewaktu dihubungi Hip sedang berada di Genting Highlands bercuti seorang diri di sana.
Sejurus selesai aktiviti di situ, Remy dan dua rakan seperjuangannya itu bergegas pulang ke hotel kerana perlu ditemubual wartawan untuk penerbitan majalah dan stesen TV. Keesokannya pula, mereka sempat beramah mesra dan ditemubual wakil wartawan Berita Harian dan The New Paper di sana.
"Oleh kerana waktu penerbangan kami untuk pulang ke Kuala Lumpur pada jam 7.10 malam, lalu, kami sempat mengambil kesempatan untuk mencuci mata di sana. Malah, pada malam pertama pun, kami berpeluang ke Night Safari yang bertemakan Malam Halloween.
"Hampir kebanyakan masa kami habis di dalam kereta untuk ke satu destinasi ke satu destinasi. Oleh kerana masa agak terhad, saya pun tidak membeli belah sangat. Saya juga tersentuh hati kerana ada ahli kelab peminat saya (Remy Ishak Fan Club) dari Malaysia sanggup turun ke Singapura untuk memberi sokongan," kata Remy Ishak yang boleh dihubungi menerusi Facebook dengan hanya menaip namanya saja.
Ditanya mengenai desas desus cerita kononnya Ummi Nazeera menghubungi pengarah teater Natrah, Erma Fatima kerana bimbangkan perasaan sayang akan mula timbul antara dua pelakon utamanya, pelakon yang dimaksudkan itu ialah Remy Ishak yang pernah digosipkan bercinta dengan Ummi dan pemegang watak Natrah, Diana Danielle.
Bagaimanapun Ummi dalam kenyataannya di dalam akhbar Metro Ahad menjelaskan bahawa dia menghubungi Erma sekadar berkongsi perasaan gementar Remy yang pertama kali berlakon di bawah arahan pengarah teater itu. Sikap ambil berat Ummi disalah erti hingga timbul gosip sebaliknya pula.
"Ramai juga yang bertanyakan saya mengenai perihal cerita terbabit sedangkan saya tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi kerana sibuk di lokasi penggambaran. Saya merujuk cerita ini kepada Ummi dan dia menjelaskan tiada apa yang berlaku dan semuanya sebab salah faham yang mengundang gosip," kata Remy yang belum mahu serius memikirkan soal cinta.
Jelas Remy lagi sebelum mengakhiri perbualan, dia mahu terus bekerja keras untuk memastikan apa yang dicari selama ini tidak berakhir dengan sia-sia. Ketika artikel ini ditulis, Remy masih sibuk melunaskan baki penggambaran telefilem Keabadian Cinta arahan Kabir Bhatia yang akan disiarkan di Astro Citra Februari depan.
"Telefilem ini mempunyai tiga cerita dalam satu. Ia seperti konsep filem Sepi dan Cinta. Menariknya biarpun dalam format telefilem ia menggunakan lensa filem dan seperti menonton filem. Selepas selesai penggambaran telefilem ini, saya akan terbabit dengan latihan teater Natrah.
"Pada masa yang sama, saya akan ke lokasi penggambaran drama 26 episod, Suraya dan bergandingan buat kali kedua dengan Rita Rudaini. Kami bergandingan buat kali pertama dalam telefilem Jalan Pintas Ke Neraka yang disiarkan menerusi slot Cerekarama," demikian cerita Remy.
0 comments :
Post a Comment