Menilai kemelut dengan Indonesia
Persoalannya, wajarkah kita melayan semua karenah ini? Adakah apa yang berlaku dirancang? Atau apakah kita harus membiarkan sahaja? Bagi mengupas isu ini, empat bekas wakil Utusan di Jakarta memberikan pandangan masing-masing. Mereka ialah Marzuki Yusoff (1996-1998), Zulkiflee Bakar (1999-2001), Zulkefli Hamzah (2002-2005) dan Sopha Sulaiman (2006-2008).
Apa agenda negara jiran?
GERAKAN menyemai unsur kebencian melibatkan pertubuhan bukan kerajaan dan sesetengah media utama di Indonesia terhadap Malaysia tentunya mencetuskan banyak persoalan mengenai agenda dan siapakah sebenarnya berada di sebalik gerakan tersebut.
Sebagai wartawan yang pernah bertugas selama tiga tahun di Jakarta bermula tahun 1996 dan pernah melalui detik-detik bersejarah reformasi sehingga jatuhnya seorang pemimpin besar bernama Suharto pada tahun 1998, saya percaya gerakan membenci Malaysia mempunyai agenda tersirat yang perlu dirungkai siapa dalang sebenarnya.
Pada era Presiden Suharto, misalnya, terdapat banyak juga suara-suara sumbang di media massa yang mahu pemerintah republik ini bersikap ‘lebih keras’ terhadap negara jirannya dan isu-isu utama yang kerap ditonjolkan ketika itu selalunya hanya berkaitan dengan layanan ke atas pembantu rumah Indonesia di Malaysia. Dan, berita-berita seumpama ini biasanya akan senyap begitu saja dan selepas itu sekali-sekala dicetuskan semula apabila berlaku kes-kes serupa. Ketika itu tiada rakyat memekik melolong mengadakan demonstrasi, beraksi seperti orang hilang akal sehingga sanggup memijak-mijak Jalur Gemilang dan mula memantapkan ilmu persilatan sebagai persiapan untuk berperang.
Jangan sebebal mereka!
KALAU mahu ikut hati sudah tentu, kita juga boleh mendesak semua pertubuhan mempertahankan diri di negara ini menunjukkan kekuatan mereka untuk bersedia berperang dengan Indonesia. Kita boleh minta media asing paparkan bagaimana ahli-ahli silat Malaysia berlatih.
Tetapi pemikiran rakyat Malaysia tidaklah secetek sesetengah pihak di Indonesia. Kita masih waras dan lebih mementingkan penyelesaian masalah melalui rundingan, biarpun sesuatu isu yang tercetus bukan salah kita.
Oleh itu, adalah lebih baik kita biarkan sesetengah puak di Indonesia dengan telatah bodoh mereka. Biarkan mereka hendak melakukan tindakan tidak bertamadun dengan mengadakan sweeping dan sebagainya bagi menunjukkan tanda protes.
Apa yang pasti secara faktanya, rakyat Indonesia lebih memerlukan Malaysia. Kita juga yakin bahawa rakyat Indonesia yang bertungkus lumus mencari rezeki di negara ini, berasa bosan dengan gelagat rakan mereka di negara sendiri. Kita tidak akan sengsara kalau apa-apa berlaku dalam hubungan antara kedua-dua negara kerana Malaysia adalah lubuk rezeki bagi rakyat Indonesia.
Namun kita tidak perlu bertindak balas kecualilah kedaulatan dan maruah kita dicabul. Biarlah puak-puak yang tidak matang di Indonesia itu dengan gelagat mereka.
Cinta dua negara
Semalam di Malaysia, lagu yang dinyanyikan oleh S. Effendi dan kemudiannya kumpulan D’Lloyd pada 1960-an dan 1970-an ini meruntun jiwa. Ia masih menjadi siulan ramai di Malaysia mahupun Indonesia. Populariti lagu ini hebat sehingga ia difilemkan pada 1975.
Hubungan pencipta lagu ini, Allahyarham Syaiful Bahri dengan Malaysia memang dekat. Bekas pemimpin Orkestra Muzik Jakarta ini pernah bertugas dengan Filem Negara semasa konfrontasi yang dilancarkan oleh Presiden Sukarno mula memuncak pada 1962. Beliau juga pernah menjadi pembantu khas kepada Timbalan Menteri Penerangan, Tan Sri Senu Abdul Rahman. Banyak lagu patriotik yang diilhamkannya.
Lagu Terang Bulan yang juga ciptaannya turut menjadi kontroversi. Malaysia dituduh menciplak Terang Bulan menjadi lagu Negaraku. Kemudian timbul cerita, Syaiful diminta oleh Sukarno memberikan lagu itu kepada Malaysia sebagai lagu kebangsaan. Ia dianggap satu kebanggaan kepada Syaiful yang juga mempunyai keluarga di Malaysia. Dalam konteks sekarang, setelah lebih 40 tahun, Semalam di Malaysia masih meruntun jiwa jutaan tenaga kerja Indonesia di Malaysia. Rakyat Indonesia dari Sabang (Aceh) hingga Merauke (Irian) tidak melihat Malaysia sebagai ancaman tetapi sebagai negara serumpun.
Marah hanya seketika
Tindakan sekumpulan penunjuk perasaan membawa buluh runcing untuk mencari dan mengusir rakyat Malaysia dalam gerakan yang disebut sweeping di Jalan Diponegoro, Jakarta minggu lepas kerana mendakwa Malaysia “mencuri” salah satu tarian kebudayaan negara itu, bukanlah tindakan kali pertama.
Tahun lepas sweeping yang sama dilakukan di Surabaya kerana membantah kekerasan pihak berkuasa Malaysia terhadap seorang jurulatih taekwondo negara itu.
Penulis melihat ancaman kumpulan radikal seperti itu yang biasanya ditaja oleh pertubuhan tertentu, tidak lebih untuk mendapatkan publisiti pihak media.
Perlu disebut, di Jakarta jika terdapat lima orang membuat demonstrasi, ia akan mendapat liputan akhbar dan stesen televisyen. Walaupun demonstrasi atau tunjuk perasaan itu kecil, yang ramai datang di lokasi ialah petugas media dan anggota polis. Tindakan provokatif pembawa buluh runcing itu hanya berupa “gertak sambal” ataupun bermaksud cuba menakut-nakutkan orang lain selain bertujuan mensensasikan sesuatu isu, sama ada yang dianggap remeh mahupun isu yang lebih besar melibatkan hubungan dua negara.
Padahnya, provokasi yang berbentuk keganasan seperti yang berlaku memberikan imej yang buruk kepada pemerintah negara itu sendiri kerana perbuatan itu dianggap tidak bertamadun lagi dalam dunia siber sekarang. Provokasi seperti itu juga tidak disukai oleh rakyat negara itu sendiri kerana memalukan mereka walaupun demonstrasi dibenarkan di negara yang mengaku mengamalkan demokrasi sebenar itu.
Sumber : Utusan Online
0 comments :
Post a Comment